Teks: Nor Izzati Binti Samsudin
Assalamualaikum w.b.t.
Salam perkenalan. Salam
ukhuwah. Salam muhibbah.
Syukur Alhamdulillah, masih
diberi peluang mencoret tinta buat pembuka bicara. Dihambat kesibukan duniawi
saya mengambil masa yang cukup lama untuk tampil memperkenalkan diri.
Saya, Nor Izzati Binti
Samsudin, berasal dari Sungai Besar, Selangor. Merupakan anak ke-3 pasangan
bahagia Encik Samsudin Bin Bahar dan Puan Sa’adiah Binti Mohd Said. Lahir
sebagai anak perempuan sulung pada tanggal 15 Februari 1987 menjadikan saya
seorang kakak kepada 2 orang adik perempuan, dan 2 orang adik lelaki. Menggalas
tanggungjawab sebagai ‘anak sulung’ secara tidak langsung mewajibkan saya
menjadi ‘kuat’ dari segala segi fizikal dan mental pada pandangan mata keluarga
besar saya.
Saya mendapat pendidikan
awal di Sekolah Kebangsaan Seri Bahagia dan Sekolah Rendah Agama Parit 9
sebelum menyambung pendidikan menengah di SAMT Sultan Salahuddin Abdul Aziz
Shah, Batu 38, Sabak Bernam, Selangor dari Tingkatan 1 hingga Tingkatan 3.
Berbekalkan keputusan PMR yang agak cemerlang saya kemudiannya meneruskan
pendidikan menengah saya di SMKA Simpang Lima, Sungai Besar, Selangor dalam
aliran Sains Tulen. Ternyata percaturan saya untuk bertahan dalam aliran Sains
Tulen sedangkan saya lebih meminati perakaunan kadangkala menimbulkan
penyesalan di hati kecil saya. Namun, percaya perancangan Allah itu tiada
taranya sedikit demi sedikit rasa kesal itu berlalu.
Selepas SPM, saya mengikuti Latihan PLKN di
Kem Milennium, Beranang, Selangor selama 3 bulan sebelum membuat keputusan
mencari pengalaman kerja di Hotel Equatorial, Cameron Highlands sebagai
Operator Telefon. Pengalaman kerja secara kontrak selama 2 bulan di hotel
tersebut benar-benar membuatkan saya serik untuk bekerja dalam industri
perhotelan/pelancongan.
Namun, kita merancang,
Allah juga merancang. Dan perancangan Allah itu adalah pasti. Keputusan UPU
tidak memihak kepada saya. Satu-satunya peluang untuk saya menyambung belajar
adalah dalam bidang Pengurusan Pelancongan di Politeknik Sultan Idris Shah.
Mengikuti Latihan Praktikal
di Dorani Homestay pada 2007 secara tidak langsung memberi peluang kapada saya
menjalankan promosi di MITC, Melaka dalam program Satu Daerah Satu Industri.
Takdir Allah tiada siapa yang tahu. Saya dipertemukan dengan ‘tulang rusuk’
saya ketika sama-sama mengikuti program tersebut. Setelah hampir 5 tahun
berkawan, kasih dimeterai pada 03 Februari 2012.
Benar kata orang tua,
perkahwinan itu permulaan sebuah kehidupan, dan 5 tahun pertama perkahwinan
kita akan sentiasa diuji dengan kesempitan dan kekurangan harta. Ternyata
kata-kata itu benar dan saya tidak terlepas dari diuji.
Selepas berkahwin, saya
masih meneruskan karier saya sebagai Kerani Pentadbiran di Dorani Bayu Resort. Kehidupan
berkeluarga, dan tanggungjawab yang semakin berat dengan kehadiran Nur Zuyyin
Inani, permata hati kami pada tanggal 24 September 2013 membuatkan saya
berfikir cara terbaik untuk keluar dari zon selesa dan frasa “cukup-cukup makan”.
Berhenti kerja di syarikat sekarang dan berpindah ke syarikat lain bukan
penyelesaian masalah bagi saya. Saya terfikir untuk membuat kerja sampingan
seperti berniaga dan sebagainya. Namun, tiada kemahiran dan pengalaman
menjadikan fikiran saya buntu.
Pada pertengahan 2014, saya
terbuka blog Akademi Bekerja Di Rumah tulisan Puan Anys Idayu Zakaria. Saya
tertarik dengan konsep dan cara pembelajaran yang diasaskan oleh Puan Masayu
Ahmad. Terdetik di hati untuk mencuba namun kekangan kewangan ketika itu
memaksa saya melupakannya buat seketika. Hari demi hari saya semakin lupa perihal
blog tersebut.
Namun, pada penghujung
Januari 2015, saya dipertemukan semula dengan tulisan Puan Anys Idayu. Percaya
bahawa peluang tidak akan datang berkali-kali terus saya kuatkan hati untuk mendaftar
sebagai protege beliau.
Matlamat saya menyertai
ABDR ini adalah mudah. Saya ingin belajar daripada bawah cara perniagaan online
dan saya percaya blog adalah salah satu platformnya. Oleh yang demikian, suka
saya belajar cara penulisan yang baik dan berinformasi terlebih dahulu sebelum
saya teruskan niat saya untuk menjadikan blog saya sebagai sumber pendapatan
kedua. Harapan saya, semoga saya terus komited dengan apa yang saya usahakan
sekarang sebagai langkah untuk saya berundur daripada ‘makan gaji’ suatu hari
nanti. Apapun, terima kasih kepada Puan Masayu Ahmad mewujudkan fenomena ABDR
ini dan terima kasih kepada Puan Anys atas tunjuk ajar dan sokongan yang tidak
berbelah bagi.
Sekian dahulu daripada
saya. Sehingga kita bertemu di entri yang seterusnya. Wassalam.
No comments:
Post a Comment