Friday 27 February 2015

Lagu “Hati” - Adel

Entri 8

Teks: Nor Izzati Binti Samsudin

Pertama kali menghayati lagu bertajuk “Hati” nyanyian Adel AF2014, ada sesuatu mencuit hati saya. Terdetik rasa syahdu dalam setiap bait lagu yang diperdengarkan. Saya tidak pasti maksud sebenar yang cuba disampaikan oleh penulis lirik lagu ini. Apa yang pasti, lagu ini mengingatkan saya pada pencipta yang Maha Agung. Allahu Rabbi.

Setulus hati aku persembahkan
Semua kata luah perasaan
Walaupun jauh namun
Cintaku masih tersimpan

Sekalung tasbih ku jadikan teman
Bukan pengganti hanya tanda jalan
Membawa aku jauh
Ke lembah percintaan
Kau hidupku kau matiku kau nyawaku

Ohhh kasih kau tiada samanya
Mulanya saat ku terjaga sampai waktunya ku pejamkan mata
Ohhh kasih kaulah segalanya
Biarpun apa saja kaulah cinta

Sekalung tasbih ku jadikan teman
Bukan pengganti hanya tanda jalan
Membawa aku jauh ke lembah percintaan
Kau hidupku kau matiku kau nyawaku

Ohhh kasih kau tiada samanya
Mulanya saat ku terjaga sampai waktunya ku pejamkan mata
Ohhh kasih kaulah segalanya
Biarpun apa saja kaulah cintaku
Biarpun apa saja kaulah cinta

Fikiran dan fahaman sesama kita mungkin berbeza.

Namun, pada saya lagu ini membawa maksud cinta nan agung seorang hamba kepada pencipta-NYA. Tanpa pernah melihat rupaNya, tanpa mengenal fizikalNya, secara fitrah kita mencintaiNya. Penuh khusyuk bertasbih bertahmid memuji kekuasaanNya demi membuka jalan mencari keredhaanNya.

Hanyalah Dia satu-satunya. Dialah yang menghidupkan. Dialah yang mematikan.

Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidupku, matiku adalah untuk Allah Tuhan sekalian alam. Tidak ada sekutu bagiNya.



Thursday 26 February 2015

Infaq & Sedekah

Entri 7

Teks: Nor Izzati Binti Samsudin

Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi Muhammad s.a.w. bersabda:
 "Apabila seorang manusia mati, putuslah (tulisan pahala) amalan (setakat itu) Kecuali tiga perkara (yang akan berlanjutan tulisan pahalanya) iaitu sedekah jariah atau ilmu memberi kepada yang faedah orang lain atau anak yang soleh yang berdoa untuknya."
(Hadith Sahih - Riwayat Imam Ahmad)

Petang semalam saya berpeluang mendengar tazkirah ringkas berkaitan infaq dan sedekah yang disampaikan oleh Ustaz Abdul Ghaffar, pegawai daripada Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) ketika kunjungan beliau ke Dorani Bayu Resort.

Penyampaian yang cukup bersahaja dalam tempoh masa lebih kurang setengah jam namun jelas meninggalkan kesan di jiwa dan fikiran saya. Membawakan sebuah tajuk  tazkirah yang acap kali saya dengar dan acap kali juga ianya terabai tanpa dilaksanakan. Namun, pendekatan yang dilakukan oleh YaPEIM sedikit sebanyak membuka ruang untuk saya memperbaiki kejahilan diri.

Menekankan amalan sedekah jariah sebagai bekalan sesudah mati, YaPEIM memberi inisiatif menggalakkan pemberian sedekah secara konsisten melalui konsep potongan gaji bulanan mengikut keikhlasan hati masing-masing.  

Tertarik dengan kata-kata Ustaz Abdul Ghaffar bahawa kita perlu kreatif dalam bersedekah. Sedekah tidak hanya tertumpu kepada wang ringgit semata-mata. Teguran dan perkongsian ilmu itu juga suatu sedekah yang mampu menghapuskan dosa-dosa kecil kita selagi mana kita menjalankan perintah-Nya dan menjauhi perkara yang merosakkan akidah seperti syirik dan sebagainya.

Timbul keinsafan di hati kecil saya bila mana beliau mengatakan kita insan yang lemah seringkali menilai pemberian sedekah itu dengan melihat siapa pemintanya, bukan menilai pahala yang diperoleh daripadanya. Ya, saya akui kebenaran kata-katanya itu. Dengan hebahan berita dan sebagainya berkenaan sendikit penipuan sedekah, kadangkala hati menjadi ragu-ragu untuk memberi. Seringkali, rayuan si peminta dibiar berlalu tanpa layanan.

Sekadar renungan, banyak manakah kebaikan telah kita taburkan sepangjang kehidupan ini? Tanyalah pada diri, jawablah sejujurnya hati. Semoga kita masih diberi peluang untuk berbakti buat bekalan di kemudian hari. Janganlah hanya mementingkan keuntungan berbentuk material semata-mata. Tanamlah azam di sanubari untuk berbuat kebaikan yang akan mendatangkan manfaat dan memberi ganjaran berpanjangan untuk kehidupan yang abadi.

Dari Amru bin Auf r.a katanya Rasulullah SAW bersabda:
“Sesungguhnya sedekah seseorang Islam itu memanjangkan umur dan mencegah daripada mati dalam keadaan teruk  dan Allah SWT pula menghapuskan dengan sedekah itu sikap sombong, takbur dan membanggakan diri (dari pemberiannya).”
(Hadis Riwayat Bukhari)


Tuesday 24 February 2015

Barang Wajib Bawa Waktu Bercuti

Entri 6

Teks: Nor Izzati Binti Samsudin

Percutian yang sepatutnya menjanjikan kegembiraan boleh bertukar menjadi hambar bila mana kita terpaksa berdepan situasi yang tidak dijangka seperti tertinggal dokumen penting dan sebagainya.  Keterujaan untuk bercuti kadangkala membuatkan kita lupa barang-barang penting yang wajib dibawa ketika bercuti. Jadi, kali ini saya kongsikan serba sedikit barang yang perlu dibawa bagi melancarkan perjalanan percutian domestik anda.

Dokumen Penting
Pastikan anda membawa dokumen asal dan salinan setiap dokumen penting seperti kad pengenalan, lesen, tiket, insurans dan sebagainya. Salinan dokumen ini penting bagi membantu mengurangkan tekanan sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini seperti kecurian atau keciciran.

Barangan Peribadi
Pastikan anda tidak sesekali tertinggal barangan peribadi anda seperti dompet, duit, kad ATM, kad kredit, dan lain-lain. Biasakan diri untuk mengasingkan barangan tersebut  di tempat yang berlainan. Ini penting bagi mengelakkan anda kehilangan semua barang berharga jika berlaku kehilangan atau keciciran dompet. Selain itu, pastikan barangan keperluan lain seperti cermin mata, jam, kunci, dan telefon bimbit diletakkan di tempat yang sama untuk memudahkan anda mencarinya.

Pakaian
Padankan pakaian yang ingin digunakan dengan bilangan hari bercuti. Tidak perlu membawa pakaian yang banyak sekiranya anda merancang untuk membeli-belah di sana. Bawa pakaian yang mudah diuruskan dan disuai padan dengan semua tempat.

Barang Penjagaan Diri
Bawalah keperluan penjagaan diri anda seminima yang mungkin bagi menjimatkan ruangan beg anda. Bagi yang menginap di hotel atau resort sabun mandi dan syampu biasanya telah tersedia. Jadi, anda hanya perlu membawa alatan asas yang lain seperti berus gigi, ubat gigi, pencuci muka, deodoran, sunblock, losyen, dan alatan mekap anda.

Ubat-ubatan
Biasakan diri anda untuk membawa bekalan ubat-ubatan walaupun anda sihat walafiat sebelum bercuti. Faktor keletihan dan persekitaran mungkin akan membuatkan anda mengalami sakit kepala, sakit perut, mabuk dan sebagainya yang memerlukan anda mengambil ubat-ubatan tersebut.

Alat Elektronik
Anda semestinya memerlukan kamera digital  ketika bercuti bagi merakamkan detik-detik indah percutian anda. Bagaimanapun, pada masa kini, kewujudan telefon pintar boleh mengurangkan gadjet yang perlu anda bawa ketika bercuti. Anda boleh menggunakan aplikasi kamera, gps dan sebagainya cukup dengan hanya membawa telefon pintar anda. Namun, pastikan anda tidak tertinggal alat pengecas atau bank kuasa kerana anda tentu sekali akan memerlukannya. 

Sunday 22 February 2015

Hormat

Entri 5

Teks: Nor Izzati Binti Samsudin

Tertarik dengan status seorang sahabat saya di laman muka buku. Luahan penuh emosi berkaitan perkataan HORMAT.

“Kalau kita mahu dihormati, belajar dahulu cara menghormati.
Hidup ini mudah. Apa yang kita lakukan, itulah yang kita akan dapat”

Bukan mudah untuk membuatkan orang hormat kepada kita. Tetapi, lebih mudah kita mengasuh diri kita untuk menghormati orang lain.

Seringkali,
Yang berpangkat ingin dihormati oleh yang kebanyakan
Yang tua ingin dihormati oleh yang muda
Yang kaya ingin dihormati oleh yang miskin
Yang bijak ingin dihormati oleh yang bodoh

Sedangkan,
Si kebanyakan, si muda, si miskin dan si bodoh itu juga punya maruah. Mereka juga punya harga diri yang tidak boleh dipijak sewenang-wenangnya.

Belajarlah lebih memahami orang lain. Kerana kita tiada bezanya di sisi Sang Pencipta.

Berlapang Dada Menerima Teguran

Entri 4

Teks: Nor Izzati Binti Samsudin

Tiada manusia yang sempurna. Tiada manusia yang tidak melakukan kesilapan. Namun, sejauh mana kita sebagai manusia hanya membiarkan ketidak sempurnaan itu dijadikan alasan untuk terus melakukan kesilapan demi kesilapan dalam hidup kita?

Kesilapan dan kesalahan itu akan terus berlanjutan sekiranya tidak disedarkan atau tiada siapa yang menegur kita. Tetapi, atas nama keegoan tidak semua daripada kita mampu menerima teguran dengan hati yang terbuka. Seringkali kita menilai siapa yang menegur, bukan apa yang ditegur.

Adakala, kita lebih senang mendengar pujian yang menyedapkan hati hingga kita lupa akan kritikan dan teguran yang membina demi kebaikan kita. Adakala, kita lupa menilai antara pujian yang melalaikan dengan teguran yang membawa kejayaan.

Jadilah individu yang positif. Tidak hidup dek puji, tidak mati dek maki.

Berlaku jujurlah pada diri sendiri. Setiap kelemahan perlu diakui. Itu bukan tanda kalah, tetapi mengalah. Mengalah dengan keegoan diri yang tidak mahu diperbaiki.

Bersyukurlah. Bersyukurlah andai ada yang menegur kita. Bersyukurlah andai ada yang mengingatkan kita akan kealpaan yang kita lakukan di luar rasa sedar kita. Anggaplah ianya rahmat kurniaan Allah yang menggerakkan hati seseorang itu untuk menegur kita daripada terus menerus melakukan kesilapan.

Wednesday 18 February 2015

Kisah Sebiji Telur - TV9

Entri 3

Teks: Nor Izzati Binti Samsudin
Foto: Sumber Google


Sebuah telemovie pendek yang mengisahkan pengorbanan seorang abang yang sanggup dimarah, dipukul hanya kerana mencuri sebiji telur demi menghilangkan lapar si adik yang sakit. Sebuah kisah dengan jalan cerita yang ringkas namun cukup menimbulkan kesan dan keinsafan di hati saya.

Kisah penuh pengajaran dan iktibar yang mana sangat rapat ceritanya dengan situasi diri kita.

Seringkali kita dikuasai nafsu amarah sehingga sanggup mengenepikan rasional akal kita.
Seringkali kita menjatuhkan hukuman sebelum kita mengadilinya. Dan,
Seringkali kita lupa membantu pada yang memerlukan.

“Dan pada harta-harta mereka ada hak untuk orang miskin yang meminta dan orang miskin yang tidak mendapatkan bahagian.” (Adz-Dzariyat: 19)

Rasulullah s.a.w. Bersabda; “Ada tiga hal yang aku bersumpah, maka hafalkanlah iaitu tidak akan berkurang harta mereka kerana bersedekah, tidak ada seorang hamba pun yang dizalimi kemudian ia bersabar, pasti Allah akan menambahkan kemuliaan dan tidak ada seorang hamba pun yang membuka pintu meminta-minta, kecuali Allah akan membukakan baginya pintu kefakiran.” (At-Tirmidzi)


Tip Bercuti Dengan Bajet Minima

Entri 2

Teks: Nor Izzati Binti Samsudin

Bercuti atau melancong bersama pasangan dan keluarga merupakan impian setiap orang. Namun, bajet yang tidak mencukupi kadangkala merencatkan impian tersebut. Ketahui serba sedikit tip-tip untuk meminimumkan kos percutian anda.

1.      Tetapkan lokasi pilihan
Buat perancangan awal lokasi percutian anda dan cari maklumat berkenanan aktiviti yang sesuai dijalankan di kawasan tersebut. Ianya penting bagi memastikan anda mempunyai cukup waktu untuk memilih tempat penginapan dan pengangkutan yang bersesuaian dengan bajet anda.

2.      Pilih masa yang sesuai
Elakkan bercuti ketika musim perayaan, cuti umum atau cuti sekolah. Cara ini amat sesuai bagi keluarga yang masih belum mempunyai anak bersekolah.

3.      Pemilihan tempat penginapan
Pilih tempat penginapan yang sesuai dengan kapasiti ahli keluarga anda. Bagi keluarga kecil, penginapan di bilik hotel atau chalet sangat sesuai. Namun, bagi keluarga yang mempunyai bilangan ahli yang besar, pemilihan apartment atau homestay lebih relevan untuk meminimumkan kos.

4.      Pemilihan aktiviti
Pilih aktiviti santai yang tidak memerlukan kos yang tinggi. Apa yang penting, aktiviti yang anda jalankan ketika percutian dapat lebih mengeratkan hubungan dengan pasangan atau keluarga anda.

5.      Memasak makanan sendiri
Bagi keluarga besar, memasak sendiri makanan ketika bercuti adalah amat menjimatkan. Pemilihan penginapan  yang mempunyai dapur dan kelengkapan memasak secara tidak langsung akan membantu usaha anda menjimatkan perbelanjaan. Bawa keperluan memasak daripada rumah kerana ianya mungkin lebih murah berbanding di tempat percutian.

Bagi yang memilih penginapan di hotel atau chalet, anda boleh mengurangkan kos makan anda dengan membawa sendiri makanan dan minuman ringan seperti roti, mee segera, air kotak, dan lain-lain sebagai makanan sampingan.

6.      Berbelanja ikut keperluan
Melancong dan ole-ole atau buah tangan tidak dapat dipisahkan. Belilah barangan yang tiada ditempat anda atau setimpal dengan harganya. Jangan beli ikut kemahuan.




Monday 16 February 2015

Kenali Saya

Entri 1

Teks: Nor Izzati Binti Samsudin

Assalamualaikum w.b.t.
Salam perkenalan. Salam ukhuwah. Salam muhibbah.

Syukur Alhamdulillah, masih diberi peluang mencoret tinta buat pembuka bicara. Dihambat kesibukan duniawi saya mengambil masa yang cukup lama untuk tampil memperkenalkan diri.

Saya, Nor Izzati Binti Samsudin, berasal dari Sungai Besar, Selangor. Merupakan anak ke-3 pasangan bahagia Encik Samsudin Bin Bahar dan Puan Sa’adiah Binti Mohd Said. Lahir sebagai anak perempuan sulung pada tanggal 15 Februari 1987 menjadikan saya seorang kakak kepada 2 orang adik perempuan, dan 2 orang adik lelaki. Menggalas tanggungjawab sebagai ‘anak sulung’ secara tidak langsung mewajibkan saya menjadi ‘kuat’ dari segala segi fizikal dan mental pada pandangan mata keluarga besar saya.

Saya mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Seri Bahagia dan Sekolah Rendah Agama Parit 9 sebelum menyambung pendidikan menengah di SAMT Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Batu 38, Sabak Bernam, Selangor dari Tingkatan 1 hingga Tingkatan 3. Berbekalkan keputusan PMR yang agak cemerlang saya kemudiannya meneruskan pendidikan menengah saya di SMKA Simpang Lima, Sungai Besar, Selangor dalam aliran Sains Tulen. Ternyata percaturan saya untuk bertahan dalam aliran Sains Tulen sedangkan saya lebih meminati perakaunan kadangkala menimbulkan penyesalan di hati kecil saya. Namun, percaya perancangan Allah itu tiada taranya sedikit demi sedikit rasa kesal itu berlalu.

Selepas SPM, saya mengikuti Latihan PLKN di Kem Milennium, Beranang, Selangor selama 3 bulan sebelum membuat keputusan mencari pengalaman kerja di Hotel Equatorial, Cameron Highlands sebagai Operator Telefon. Pengalaman kerja secara kontrak selama 2 bulan di hotel tersebut benar-benar membuatkan saya serik untuk bekerja dalam industri perhotelan/pelancongan.

Namun, kita merancang, Allah juga merancang. Dan perancangan Allah itu adalah pasti. Keputusan UPU tidak memihak kepada saya. Satu-satunya peluang untuk saya menyambung belajar adalah dalam bidang Pengurusan Pelancongan di Politeknik Sultan Idris Shah.

Mengikuti Latihan Praktikal di Dorani Homestay pada 2007 secara tidak langsung memberi peluang kapada saya menjalankan promosi di MITC, Melaka dalam program Satu Daerah Satu Industri. Takdir Allah tiada siapa yang tahu. Saya dipertemukan dengan ‘tulang rusuk’ saya ketika sama-sama mengikuti program tersebut. Setelah hampir 5 tahun berkawan, kasih dimeterai pada 03 Februari 2012.

Benar kata orang tua, perkahwinan itu permulaan sebuah kehidupan, dan 5 tahun pertama perkahwinan kita akan sentiasa diuji dengan kesempitan dan kekurangan harta. Ternyata kata-kata itu benar dan saya tidak terlepas dari diuji.

Selepas berkahwin, saya masih meneruskan karier saya sebagai Kerani Pentadbiran di Dorani Bayu Resort. Kehidupan berkeluarga, dan tanggungjawab yang semakin berat dengan kehadiran Nur Zuyyin Inani, permata hati kami pada tanggal 24 September 2013 membuatkan saya berfikir cara terbaik untuk keluar dari zon selesa dan frasa “cukup-cukup makan”. Berhenti kerja di syarikat sekarang dan berpindah ke syarikat lain bukan penyelesaian masalah bagi saya. Saya terfikir untuk membuat kerja sampingan seperti berniaga dan sebagainya. Namun, tiada kemahiran dan pengalaman menjadikan fikiran saya buntu.

Pada pertengahan 2014, saya terbuka blog Akademi Bekerja Di Rumah tulisan Puan Anys Idayu Zakaria. Saya tertarik dengan konsep dan cara pembelajaran yang diasaskan oleh Puan Masayu Ahmad. Terdetik di hati untuk mencuba namun kekangan kewangan ketika itu memaksa saya melupakannya buat seketika. Hari demi hari saya semakin lupa perihal blog tersebut.

Namun, pada penghujung Januari 2015, saya dipertemukan semula dengan tulisan Puan Anys Idayu. Percaya bahawa peluang tidak akan datang berkali-kali terus saya kuatkan hati untuk mendaftar sebagai protege beliau.

Matlamat saya menyertai ABDR ini adalah mudah. Saya ingin belajar daripada bawah cara perniagaan online dan saya percaya blog adalah salah satu platformnya. Oleh yang demikian, suka saya belajar cara penulisan yang baik dan berinformasi terlebih dahulu sebelum saya teruskan niat saya untuk menjadikan blog saya sebagai sumber pendapatan kedua. Harapan saya, semoga saya terus komited dengan apa yang saya usahakan sekarang sebagai langkah untuk saya berundur daripada ‘makan gaji’ suatu hari nanti. Apapun, terima kasih kepada Puan Masayu Ahmad mewujudkan fenomena ABDR ini dan terima kasih kepada Puan Anys atas tunjuk ajar dan sokongan yang tidak berbelah bagi.


Sekian dahulu daripada saya. Sehingga kita bertemu di entri yang seterusnya. Wassalam.