Monday 2 March 2015

'Family Day' Bajet

Entri 10

Teks: Nor Izzati Binti Samsudin

Bagi yang merancang percutian hari keluarga, reunion sekolah, dan yang seumpama dengannya, lokasi paling sesuai dan menjimatkan kos adalah di kawasan tepian pantai terbuka. Anda bebas melakukan pelbagai aktiviti tanpa kekangan daripada mana-mana pihak. Namun, sekiranya anda bercuti di kawasan pantai tertutup (milikan sesebuah resort/hotel), anda perlu mendapatkan kebenaran daripada pihak pengurusan tempat tersebut sebelum datang dan memulakan aktiviti kerana mungkin terdapat beberapa prosedur yang perlu dipatuhi.

Elakkan daripada menggunakan khidmat konsultan atau pengurus acara kerana setiap khidmat mereka tentu sekali akan dikenakan caj. Seelok-eloknya, tubuhkan pasukan anda sendiri yang akan mengendalikan hal-hal berkaitan penginapan, makanan, aktiviti, hadiah, dan sebagainya.

Makan bagi satu kumpulan besar tentu sekali memerlukan kos yang banyak. Jika boleh, elakkan daripada menggunakan khidmat katerer. Mungkin anda boleh mengadakan acara gotong-royong memasak atau pertandingan masakan dalam kumpulan. Selain menjimatkan kos, acara tersebut tentu sekali dapat mengeratkan hubungan silaturrahim sesama anda. Idea lain, mungkin anda boleh berbincang untuk mengadakan potluck bagi jamuan makan anda.

Tetapi, sekiranya program hari keluarga anda berlangsung di resort/hotel, kebiasaannya makanan daripada luar adalah tidak dibenarkan. Ini adalah prosedur yang perlu dipatuhi kerana ia adalah salah satu langkah keselamatan yang diambil oleh pihak pengurusan resort/hotel tersebut bagi mengelakkan masalah keracunan makanan, kebersihan kawasan dan sebagainya.

Namun, ada sesetengah resort/hotel memberi kelonggaran kepada pelanggan untuk acara barbeku. Anda boleh membawa bahan mentah sendiri dan mengendalikan sendiri acara barbeku anda. Secara tidak langsung kos makan anda sedikit sebanyak dapat dikurangkan.

Oleh itu, rancanglah program percutian keluarga anda sebaik mungkin sebelum memilih lokasi percutian. Pemilihan tempat bagi mengadakan program hari keluarga adalah sangat penting. Ia bukan sahaja melibatkan kos penginapan, kos-kos lain seperti makan, aktiviti dan sewaan tempat berkumpul juga perlu diambil kira.

Bagi perancangan aktiviti yang sesuai dengan tema ‘family day’ bajet anda, nantikan dalam entri saya yang seterusnya.J



No comments:

Post a Comment