Monday 11 May 2015

Music Paper

Entri 21

Teks: Nor Izzati Binti Samsudin
Foto:  Simpanan Peribadi

Kategori: Sukaneka Berpasangan

Objektif Permainan:-

  • Memupuk semangat kerjasama sesama pasangan
  • Menguji daya pemikiran kreatif peserta

Peralatan yang digunakan:
  • Surat Khabar Lama (1 Helai)
  • Radio


Cara Permainan:-

  1. Setiap pasangan akan diberikan sehelai surat khabar lama.
  2. Surat Khabar tersebut perlu diletakkan di atas tanah dan lagu akan mula dimainkan.
  3. Setiap pasangan perlu naik/masuk ke dalam surat khabar tersebut apabila lagu dihentikan.
  4. Apabila lagu dimainkan semula, setiap pasangan perlu turun/keluar daripada surat khabar dan surat khabar tersebut akan dilipat dua.
  5. Setiap pasangan perlu naik/masuk semula ke dalam surat khabar tersebut apabila lagu dihentikan.
  6. Aturan permainan ini perlu diulangi sehingga pemenang permainan ditemui.
  7. Pasangan yang gagal menempatkan diri dan bertahan di atas surat khabar tersebut akan tersingkir.
  8. Pasangan yang berjaya meneruskan permainan dan bertahan dengan lipatan surat khabar paling kecil dikira pemenang. 





Cemburu Dalam Perhubungan

Entri 20

Teks: Nor Izzati Binti Samsudin
Foto:  Carian Google


Cemburu itu fitrah. Setiap orang punya rasa cemburu. Yang berbeza mungkin cuma pada banyak atau sikitnya rasa cemburu itu.

Cemburu versi saya dan suami mungkin sedikit berbeza dengan pasangan lain. Bohonglah jika saya katakan tidak ada rasa cemburu dalam hati dan jiwa kami. Mana mungkin untuk saya melawan fitrah. Cemburu itu ada tapi bahangnya tidaklah kuat.

Bukan untuk berbangga, tapi boleh dikatakan cemburu bukanlah satu prioriti dalam hubungan kami. Ada bidalan mengatakan cemburu itu tandanya sayang. Dan ya, kadangkala saya turut termakan dengannya.

“Macam takde perasaan je laki aku ni, langsung tak cemburu, 
sayang ke tidok?”

Tapi, bila diperhalusi, cemburu itu cuma satu perasaan, sedangkan banyak lagi cara untuk kita tampilkan rasa sayang kita pada pasangan kita. Tidak perlu cemburu dijadikan kayu pengukur untuk menilai kasih sayang. Kerana cemburu itu sendiri boleh jadi peluru yang mematikan rasa kasih dan sayang dalam perhubungan jika ianya dikawal secara membabi buta.

Secara zahirnya, boleh dikatakan saya tiada pengalaman gaduh berhari-hari, menangis, merajuk dan sebagainya disebabkan cemburu. Bukanlah kerana saya percaya 200% pada pasangan saya tapi saya lebih mementingkan rasional sesuatu tindakan terlebih dahulu. Pernah suatu ketika masa zaman bercintan-cintun dulu saya terjumpa komen-komen mesra antara si dia dengan seorang perempuan dalam facebook. Berkali-kali saya ulang baca komen-komen tu. Dan ya, hati saya sakit. Taknak terlalu cepat melatah, saya minta pendapat officemate saya merangkap bestfriend saya.

Zaty       : Kak, cer tengok jap komen-komen ni (gelak)
K. Ida    : (Tengok) Dia berbalas komen dengan sape ni?
Zaty       : Ntah. Agak-agak saya boleh cemburu ke, saya macam budak-budak kalo cemburu?
K. Ida    : Memang patut cemburu.
Zaty       : Tak macam budak-budak?
K. Ida    : Tak.

Hahaha. Ntah pape kan. Perasaan sendiri pun kena mintak orang consult dulu. Minggu depannya saya jumpa dia baru saya minta penjelasan.

Zaty       : Bie, ija cemburu la (gelak)
Faizal    : Aik? Nape pulak? Macam tak bersalah je kan soalan dia?
Zaty  : Aritu orang nampak Bie reply-reply komen ngan sapetah kat fb. Kemain mesra lagi ye.
Faizal    : (Gelak) Tu kawan Bie la. Saja je usik-usik dia. Takde apelah.
Zaty      : Gile tak cemburu. Orangnya dah la cantik.
Faizal    : Dia dah ade pakwe la. Nak kawen dah x lama lagi.

Okay. Case close. Tak payah nak meroyan lama-lama. Buat penat je. Tu kalo conservation tu diteruskan lastnya confirm jadi gaduh. Bila dah bergaduh mula la ada adegan air mata bagai. Drama sangat. Keywordnya cuma satu PERCAYA. Tak payah nak inquiry banyak-banyak. Tak payah nak fikir bukan-bukan. Kita minta penjelasan dia dah jelaskan. So, kita buat-buat percaya jela cakap dia. Tanya banyak-banyak, fikir bukan-bukan pun bukan boleh mengubah apa-apa kalau betul dia nak menipu.


Kita punya pendapat masing-masing. Mungkin ada yang kata cemburu, gaduh, merajuk dan sebagainya itu warna-warni perhubungan. Tapi pada saya, kehidupan seharian itu sudah cukup memenatkan. Tak perlu ditambah lagi rasa penat itu dengan cemburu buta dan sebagainya yang mengeruhkan lagi keadaan.

Saya dikelilingi kawan-kawan yang masing-masing mempunyai pasangan yang kuat cemburu. Mungkin, kawan-kawan saya semua cantik-cantik. Sebab tu pakwe dan hubby masing-masing jadi kuat cemburu. Saya yang tak berapa nak cantik ni duduk diam-diam sudah. Hahaha.

Apa yang saya lihat, perjalanan kehidupan yang diiringi rasa cemburu sungguh merimaskan. Pernah waktu belajar dahulu setiap kali kami terpaksa keluar mencari bahan untuk assignment, setiap kali itu jugalah kawan saya akan bergaduh dengan pakwenya. Pernah juga suatu ketika kawan saya terpaksa mengusung pakwenya sekali untuk menjalankan tugasan berkumpulan sedangkan pakwenya bukanlah satu tempat pengajian dengan kami. Semuanya hanya kerana rasa cemburu yang sedikit sebanyak berjaya mendominasi rasa percaya sekaligus menerbitkan rasa sangsi terhadap pasangan.

Ada juga kawan saya yang terpaksa melupakan keinginan memiliki smartphone hanya kerana teman lelakinya tidak membenarkannya untuk berwhatsapp, wechat, dan yang seumpama dengannya. Pelbagai ragam cemburu yang saya lihat dikalangan rakan-rakan saya. Sampaikan ada yang mengadu annoying dengan pasangan masing-masing bilamana terpaksa bergaduh kerana cemburukan perkara yang sama berulang kali.

Pada saya, cemburu itu perlu tapi biarlah berpada dan rasional. Jangan sampai cemburu itu menjadi racun yang mematikan rasa sayang. Belajarlah menjadikan cemburu itu baja yang dapat menyemai dan menyuburkan rasa kasih dan cinta.




p/s: Terima kasih pada yang sudi baca hingga ke penghujung kata. 

Friday 8 May 2015

Buaya vs Biawak

Entri 19

Teks: Nor Izzati Binti Samsudin
Foto:  Carian Google

Kategori: Sukaneka Perseorangan

Objektif Permainan:-
  • Menguji kepekaan dan kepantasan peserta 

Peralatan yang digunakan: Tiada

Cara Permainan:-


  1. Setiap peserta dikehendaki duduk dalam satu bulatan besar.
  2. Setiap peserta perlu ingat – BUAYA (sebelah kanan) dan BIAWAK (sebelah kiri).
  3. Permainan akan dimulakan oleh salah seorang peserta yang terpilih.
  4. Peserta pertama perlu berpaling ke arah peserta kedua sama ada di sebelah KANAN atau KIRI diikuti sebutan BUAYA atau BIAWAK.
  5. Peserta kedua yang dituju perlu menyahut dengan cara yang sama ke arah peserta seterusnya.
  6. Peserta yang gagal menyahut dengan betul dan cepat akan disingkirkan.
  7. Peserta tunggal yang mampu bertahan hingga ke penghujung permainan dikira pemenang.

Saturday 25 April 2015

Negara Bom

Entri 18

Teks: Nor Izzati Binti Samsudin
Foto:  Carian Google

Kategori: Sukaneka Berkumpulan

Objektif Permainan:-
  • Menguji kepekaan peserta
  • Meningkatkan kemahiran mendengar di kalangan peserta
  • Memupuk semangat bekerjasama sesama ahli kumpulan
  • Menggalakkan persaingan sihat antara kumpulan yang terlibat

Peralatan yang digunakan: Tiada

Cara Permainan:-
  1. Bentukkan kumpulan (minima 4 kumpulan) yang terdiri daripada sekurang-kurangnya 5 orang peserta.
  2. Setiap kumpulan perlu memilih satu nama negara sebagai nama kumpulannya. Contoh: Iran, Afrika, China, India & Jepun.
  3. Setiap wakil kumpulan perlu mengundi untuk menentukan kumpulan yang akan memulakan permainan.
  4. Kumpulan pertama akan menyebut nama negaranya diikuti perkataan ‘bom’ terlebih dahulu sebanyak tiga kali dan kemudian mengebom negara yang menjadi sasarannya. Contoh: Iran bom - Iran bom - Iran bom - Afrika bom
  5. Kumpulan kedua dan berikutnya perlu menyahut serta mensasarkan negara pilihan masing-masing dengan cara yang sama
  6. Sekiranya kumpulan negara yang menjadi sasaran tersebut lambat menyahut, negara mereka akan terbakar dan disingkirkan daripada permainan. Selain itu, sesuatu negara juga akan dikira kalah sekiranya mereka tidak sepakat dalam mengebom negara lain.
  7. Kumpulan yang mampu bertahan tanpa melakukan kesilapan dikira pemenang. 



Saturday 18 April 2015

Memang Sekepala – Faiq vs Zuyyin

Entri 17

Teks: Nor Izzati Binti Samsudin
Foto:  Simpanan Peribadi

Haritu punya cerita. Kisah 2 orang sepupu yang memang kamcheng dan sekepala membuli neneknya. Mula-mula elok je main berdua kat luar. Pastu senyap-senyap masuk bilik siap kunci pintu. Bila neneknya panggil suruh keluar yang si abang dah panik sampai nak pusing tombol pintu tu pun dah tak reti. Kunci pandai bukak pulak tak pandai. Makanya, melalak berirama la dua-dua dalam bilik tu.

Bila dah bersahut-sahutan menangis, neneknya daripada bertenang jadi tak tenang dah. Dok suruh la jugak pusing tombol tu tapi budak 2 tahun apalah tau nya. Nangis je la dalam tu dok tendang-tendang pintu suruh bukak. Lastnya, nasib baik la teringat ada kunci pendua. 


Inilah dia muka 2 orang pesalah tu. Berpeluh-peluh keluar bilik. Nasib baik tak lama terkurung. Kalau tak boleh pengsan kepanasan gamaknya. Tak pasal-pasal kena denda dengan nenek duduk diam-diam tepi almari. Huhuhu.


Insaf la dah ni konon-kononnya. Siap angkat tangan tanda menyerah lagi. 
Patuh sangat tu duduk makan biskut tepi almari.


Okay tengok. Dah mula buat sepah dah. 
Tapi steady lagi duduk tepi almari.


Dan....


Akhirnya, inilah hasilnya. Inilah kerja budak berdua tu kat rumah. 
Saling bekerjasama membuli neneknya. 
Ada saja idea-idea segar yang diorang keluarkan setiap hari. 
Faiq dan Zuyyin ni lama-lama boleh bikin nenek sakit jantung ni. Hahaha. 


Friday 17 April 2015

Terbaik Bagimu – Siti Nurhaliza

Entri 16

Teks: Nor Izzati Binti Samsudin
Foto: Laman Muka Buku

Tetiba macam termelting lak dengan lagu ni. Teringat-ingat kat Incik Suami.
Tetibe macam nak soal hati sendiri kuat mana rasa cinta saya buat Incik Suami sebenarnya?
Tetibe macam ragu adakah saya cukup baik buat dia?

Huhuhu...

Berapa banyak tetibe daa~

Apepun jom layan jiwang jap dan hayati sendiri liriknya. Buat Incik Suami, harap-harap saya adalah yang Terbaik Bagimu.

Rasaku kamu ada
Di setiap sedih juga senangku
Rasanya kamu sudah
Menjadi bintang terang hidupku

Masih kurang rasaku
Mencintai hatimu
Ingin aku jadi terbaik bagimu

Masih kurangkah aku
Menyayangi hatimu
Mahu aku mengganti setiap sukarmu
Dengan tenang

Rasaku, kamu ada
Di saat senyum juga tangisku
Rasanya, kamu sudah
Jadi yang terbaik bagi aku

Masih kurang rasaku
Mencintai hatimu
Ingin aku jadi terbaik bagimu

Masih kurangkah aku
Menyayangi hatimu
Mahu aku mengganti setiap sukarmu ooh.. oh..

Masih kurang rasaku
Mencintai hatimu
Ingin aku jadi terbaik bagimu

Masih kurangkah aku
Menyayangi hatimu
Mahu aku mengganti setiap sukarmu
Dengan tenang

Masih kurang rasaku
Mencintai hatimu
Ingin aku jadi terbaik bagimu
Dengan tenang



Tuesday 14 April 2015

Misi Pencarian Taska

Entri 15

Teks: Nor Izzati Binti Samsudin
Foto: Simpanan Peribadi

Mengikut perancangan asal, saya bercadang untuk menghantar Zuyyin ke taska bermula tahun depan setelah umurnya memasuki  usia 2 tahun. Sebelum ini, saya lebih selesa dia berada di bawah jagaan ahli keluarga saya dan mertua. Kebiasaannya, setiap hari Rabu saya akan menghantar Zuyyin ke rumah keluarga saya memandangkan setiap minggu mak mertua saya terlibat dengan program Amanah Ikhtiar pada hari tersebut. Malas berulang ke rumah mertua, kadangkala saya akan terus santak berada di rumah keluarga saya hingga hari Ahad.  

Namun, apabila adik-adik saya yang biasa menjadi baby sitter mula bekerja, Zuyyin lebih banyak dijaga oleh mak mertua saya. Dan, hari Rabu akan menjadi hari yang paling kelam kabut dalam jadual harian saya. Huhuhu

Menjaga kanak-kanak yang baru mula membesar bukan mudah. Tambahan pula, selain Zuyyin mak mertua saya turut menjaga seorang lagi cucunya berumur 2 setengah tahun. Anak lelaki kepada adik ipar saya. Mak mertua saya tidak pernah mengeluh penat di hadapan saya dan suami. Tidak pernah merungut susah dan sebagainya. Namun, di sebalik kerelaannya menjagakan anak saya, saya sedar sedikit sebanyak saya telah menyusahkannya.

Kesian dengan kelelahan mak mertua saya menjaga Zuyyin, saya terus berbincang dengan suami untuk mempercepatkan proses penghantaran Zuyyin ke taska bermula bulan hadapan. Pertukaran perancangan daripada tahun hadapan ke bulan hadapan bukan mudah sebenarnya. Persediaan mental saya sebagai seorang ibu tidak cukup kuat untuk melepaskan anak ke bawah jagaan orang yang saya tidak kenali. Ada rasa takut, tidak percaya dan pelbagai perasaan negatif yang datang. Ditambah pula dengan berbagai-bagai cerita tentang keburukan taska cukup membuatkan saya hilang keyakinan. 

Namun, apa pilihan yang saya ada?

Setelah bertanya kepada rakan-rakan tentang taska yang terbaik di Sungai Besar, masing-masing mencadangkan satu nama. TASKA FARIDAH.


Sejujurnya, saya tidak cukup mahir mencari taska terbaik untuk Zuyyin. Jadi, saya terpaksa menggunakan pendekatan percaya pada cerita rakan-rakan yang lebih berpengalaman. Salah seorang kenalan saya telah menghantar 4 daripada 5 orang anaknya ke taska ini. Begitu juga rakan-rakan suami yang mana turut pernah menggunakan khidmat asuhan dan didikan untuk anak masing-masing di taska ini. Dan, semua rakan saya dan suami nampaknya memberi gambaran yang baik dan berpuas hati dengan perkhidmatan yang diberikan taska ini.

Petang semalam saya dan suami berkesempatan berkunjung ke taska tersebut. Secara zahir, persekitarannya kelihatan bersih dan anak-anak jagaan juga terkawal. Sedikit maklumat daripada pengasas taska tersebut:-
  • Bayaran bulanan RM 250.00
  • Telah berdaftar dengan JKM
  • Waktu operasi bermula jam 7.30 pagi hingga 6.00 petang
  • Anak-anak jagaan akan diasingkan mengikut peringkat umur dan setiap kategori umur dijaga oleh seorang guru
  • Pelbagai aktiviti disediakan mengikut kesesuaian umur
  • Waktu tidur antara pukul 12.00 tengahari hingga 3.00 petang
  • Bantuan RM100.00 akan diberikan kepada keluarga yang berkelayakan
Persepsi awal, saya dan suami berpuas hati dengan taska tersebut. Layanan mesra yang diberikan pemilik taska iaitu Pn. Faridah serta guru-guru yang lain sedikit sebanyak memberikan keyakinan kepada saya untuk menghantar Zuyyin ke sana. Kebetulan, ketika kami singgah petang semalam seorang anak jagaan taska tersebut demam dan dia telah diasingkan daripada rakan-rakan yang lain serta diletakkan di bawah pemerhatian Pn. Faridah sendiri.

Melihat keadaan tersebut, saya berharap pemerhatian saya semalam bukanlah lakonan mereka semata-mata. Semoga apa yang dihidangkan untuk pandangan saya dan suami semalam benar-benar telus dan semoga segalanya dipermudahkan buat Zuyyin.


Tuesday 7 April 2015

Imaginary Pregnancy Symptoms (IPS)

Entri 14

Teks: Nor Izzati Binti Samsudin

Imaginary Pregnancy Symptoms (IPS) bukanlah satu istilah perubatan, tetapi satu istilah untuk menggambarkan keadaan perasaan seperti seolah-olah hamil. Perasaan ini datang apabila seorang wanita sangat mengharapkan kehamilan sebaik sahaja mereka tidak didatangi darah haid pada waktu yang sepatutnya. Apatah lagi jika mereka mengalami simptom-simptom hamil seperti letih, kembung perut, loya, mengidam dan sebagainya.

Perasaan ini bukanlah disebabkan kecelaruan psikologi tetapi perasaan sebenar akibat reaksi hormon dalam tubuh yang telah bersedia untuk hamil. Apabila berlakunya ovulasi, tubuh seorang wanita sebenarnya telah sedia untuk hamil dengan mengeluarkan sedikit hormon walaupun persenyawaan antara telur ovum dan sperma belum berlaku.

Antara hormon yang dikeluarkan dan menyebabkan IPS adalah hormon progesterone. Kepekatan hormon progesterone akan meningkat secara perlahan-lahan selepas berlakunya ovulasi dan kemudian turun secara perlahan-lahan jika seseorang wanita itu tidak hamil.

Imaginary Pregnancy Symptom? Saya baru sahaja mengalaminya.

Dengan kitaran haid yang tetap 28 hari setiap bulan, kelewatan didatangi darah haid selama hampir 2 minggu sedikit sebanyak membuatkan saya dan suami teruja. Ditambah pula dengan beberapa simptom hamil yang saya alami, benar-benar membuatkan saya mengharapkan ada nyawa yang saya kandung di dalam kantung rahim saya.

Hari pertama didatangi haid selepas lewat 2 minggu saya jadi bingung. Perasaan jadi bercampur baur. Kecewa, sedih semua ada. Tak terkecuali rasa mengharap darah yang keluar adalah disebabkan pendarahan implantasi yang mungkin berlaku pada awal fasa kehamilan. Namun, tak guna saya menipu diri sendiri sedangkan saya tahu darah yang keluar memang darah haid, dan simptom keletihan, demam, air liur pahit dan sebagainya yang saya alami hanyalah disebabkan IPS.

Bagi yang benar-benar mengharapkan hamil setelah bertahun mencuba, IPS tentu sekali boleh menyebabkan kesedihan dan kemurungan. Oleh itu, banyakkanlah berdoa dan berusaha moga dimakbulkan Allah. Ingatlah, sesungguhnya, Allah lebih tahu bila waktu terbaik untuk DIA menurunkan rahmat kepada hamba-hambaNYA.




Monday 16 March 2015

Resepi Perapan Kambing

Entri 13

Teks: Nor Izzati Binti Samsudin
Foto: Simpanan Sendiri

Kebiasaannya, apabila berpeluang berkumpul sekeluarga, aktiviti ‘wajib’ yang akan keluarga saya lakukan adalah BBQ. Dan, antara menu utama yang perlu ada adalah daging kambing. Tidak ramai yang menggemari daging kambing disebabkan bau hamisnya. Namun, sekiranya gaya basuhan daging kambing tersebut betul, tentu sekali bau hamis tidak lagi mematahkan selera.

Dua bahan utama yang sering saya gunakan untuk menghilangkan bau hamis daging kambing adalah tepung gandum dan limau kasturi.  Bersihkan daging kambing tersebut dengan air terlebih dahulu. Kemudian, rendamkan dengan tepung gandum dan perahan limau kasturi. Biarkan lebih kurang 30 minit sebelum dibilas bersih dan ditoskan.

Setelah daging kambing anda bersih, jom follow resepi perapan kambing paling mudah dan sempoi di dunia versi saya. Hihihi


Bahan-bahan perapan:-

Garam secukup rasa
Serbuk kunyit
Halia ditumbuk kasar
Sos Tiram
Sos Lada Hitam
* Sos tiram dan sos lada hitam saya memang tak guna sukatan. Selalu main aci curah je agak-agak semua daging kena. Huhuhu

Cara-cara:-

Lumurkan daging kambing dengan garam, serbuk kunyit dan halia. Masukkan Sos tiram dan sos lada hitam secukupnya dan gaul rata. Perapkan minima 1 jam. Siap untuk dibakar.

Senang sangat kan? Hehehe

Sebab tu kami sekeluarga suka berBBQ. Mudah dan santai.  Tapi percayalah dengan hanya menggunakan lima bahan, hasilnya cukup memecah selera. Hahaha

5 Rencah 5 Rasa. Selamat mencuba.


Tip Menabung Untuk Melancong

Entri 12

Teks: Nor Izzati Binti Samsudin

Melancong adalah impian hampir setiap orang dan setiap impian tentu sekali menuntut pengorbanan dan kesungguhan demi merealisasikannya. Bagi mereka yang TIDAK berstatus kaya harta, tip-tip di bawah mungkin berguna kepada anda.

Menabung di Akaun Berasingan
Buka satu akaun selain daripada akaun yang sering digunakan untuk perbelanjaan harian. Khususkan akaun tersebut sebagai akaun pelancongan anda dan pastikan anda tidak berlembut hati mengeluarkan duit di dalamnya bagi tujuan lain.

Simpan sedikit duit gaji bulanan anda ke dalam akaun tersebut mengikut kemampuan. Sekiranya anda menyimpan RM100.00 sebulan, setahun anda dapat kumpul RM1,200.00. Cukup untuk menampung bayaran penginapan, makan dan duit minyak sepanjang percutian domestik anda. Namun, lebih banyak anda simpan, maka lebih banyak tabungan anda dan semakin cepatlah anda dapat bercuti dan melancong.

Main Kutu
Istilah main kutu telah wujud sejak sekian lama. Ada yang mengaitkannya dengan istilah hutang dan sebagainya. Namun, secara positif ianya satu sistem penyimpanan duit yang memerlukan komitmen yang tinggi semua ahli yang terlibat. Anda terikat dengan kepercayaan rakan-rakan ahli yang lain.

Sekiranya anda bermain RM50.00 sebulan dengan kiraan peserta 20 orang, maknanya anda terikat selama 20 bulan untuk mendapatkan RM 1,000.00. Namun begitu, anda boleh memohon kepada ahli yang lain untuk mengeluarkan habuan anda pada masa anda ingin memerlukannya.

Pelaburan ASB
Melabur dengan ASB adalah salah satu langkah bijak untuk menyimpan. Dividen dan bonus yang diberikan setiap awal tahun sudah tentu boleh digunapakai untuk keperluan perbelanjaan percutian anda. Semakin banyak anda melabur, semakin tinggi dividen yang anda akan dapat setiap tahun. Secara tidak langsung, anda boleh merancang percutian anda setiap tahun mengikut anggaran dapatan dividen dan bonus ASB tersebut.


Menabung tidak semestinya dalam bentuk wang. Tempahan tiket, penginapan dan lain-lain yang dibuat lebih awal juga boleh dikira sebagai menabung. Rancang percutian anda sebaik mungkin. Lebih awal tempahan dibuat lebih banyak anda dapat berjimat. Agihkan tabungan anda kepada bulan-bulan tertentu bagi melengkapkan perancangan anda. Sebagai contoh, mungkin anda boleh menggunakan sebahagian dividen dan bonus ASB yang diberikan setiap awal tahun untuk membeli tiket penerbangan atau sebagainya yang dijadualkan pada akhir tahun. Sudah tentu harga tiket tersebut jauh lebih murah berbanding anda membelinya di saat-saat akhir.


Friday 6 March 2015

Perancangan Aktiviti Bajet

Entri 11

Teks: Nor Izzati Binti Samsudin

Tanpa menggunakan khidmat nasihat konsultan atau bantuan pengurus acara, anda sebenarnya mampu mengendalikan sendiri program hari keluarga atau reunion anda dengan pelbagai aktiviti menarik. Apa yang penting, setiap aktiviti yang dirancang mampu memberi kegembiraan seterusnya menjadi kenangan indah dalam hidup anda.

Dari segi pengendalian makanan, anda mungkin boleh merancang aktiviti yang dapat disertai oleh semua yang terlibat. Berikut antara aktiviti masakan yang sedikit sebanyak boleh membantu mengurangkan kos perbelanjaan makan anda.

§  Gotong-royong memasak
§  Pertandingan memasak
§  Potluck

Bagi aktiviti santai, rancanglah aktiviti yang dapat mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan atau persahabatan anda. Bagi yang mempunyai bajet besar, anda mungkin dapat menjalankan aktiviti seperti paintball, snorkeling, mengelilingi pulau, dan sebagainya. Namun, bagi yang mempunyai bajet kecil memadailah dengan melakukan aktiviti-aktiviti berikut.

1.      Memancing
Anda boleh membawa sendiri peralatan dan umpan memancing daripada rumah. Anda juga boleh berbual sesama ahli keluarga atau sahabat anda sementara menunggu umpan anda mengena. Hasil tangkapan tentu saja dapat dijadikan menu tambahan anda. Selain itu, aktiviti ini juga boleh dijadikan sebagai satu pertandingan bagi memeriahkan hari keluarga anda.

2.      Sukaneka
Pilih aktiviti sukaneka yang tidak menggunakan terlampau banyak peralatan bagi memudahkan persiapan. Rancang permainan yang boleh melibatkan semua orang. Lebih seronok sekiranya sukaneka yang dijalankan memerlukan penglibatan semua kategori umur seperti kategori kanak-kanak, remaja, dan dewasa.

3.      Barbeku
Aktiviti ini boleh dijalankan secara santai bagi menggantikan acara makan malam. Bahan mentah dan sebagainya boleh dibawa sendiri daripada rumah bagi menjimatkan kos. Lebih menarik jika setiap satu keluarga yang datang membawa satu atau dua menu barbeku. Sambil membakar dan makan anda tentu saja dapat berkongsi resepi perapan masing-masing.

4.      Tukar-tukar Hadiah
Aktiviti barbeku anda boleh saja diselang-selikan dengan pelbagai pengisian menarik. Salah satu daripadanya adalah aktiviti tukar-tukar hadiah. Anda boleh membuat konsep satu keluarga satu hadiah atau terbuka kepada sesiapa yang berminat. Namun, aktiviti ini perlu diwar-warkan sebelum hari keluarga tersebut berlangsung. Nilai hadiah perlu ditetapkan bagi tujuan keseragaman.

5.      Bonfire
Turut dikenali dengan nama malam unggun api. Aktiviti yang memerlukan setiap orang duduk mengelilingi unggun api dan menonjolkan bakat masing-masing. Anda boleh menyanyi, bercerita, menari, dan sebagainya di dalam bulatan tersebut. Untuk kelainan, mungkin anda boleh mengenal antara satu sama lain melalui permainan ‘Truth or Dare’ pada waktu tersebut.

6.      Tahlil & Doa Selamat
Alang-alang berkumpul, buatlah majlis ringkas bacaan doa selamat bagi memohon kesejahteraan di dunia dan di akhirat. Di samping bergembira, ambillah kesempatan untuk memperingati ahli keluarga atau sahabat yang telah ‘pergi’ dengan mengadakan bacaan tahlil. Semoga sedekah bacaan ayat-ayat suci Al-Quran yang terkandung di dalamnya sampai kepada mereka.

Semoga perkongsian pengisian aktiviti hari keluarga dan reunion ini berguna dan memberi manfaat kepada anda semua. J


Monday 2 March 2015

'Family Day' Bajet

Entri 10

Teks: Nor Izzati Binti Samsudin

Bagi yang merancang percutian hari keluarga, reunion sekolah, dan yang seumpama dengannya, lokasi paling sesuai dan menjimatkan kos adalah di kawasan tepian pantai terbuka. Anda bebas melakukan pelbagai aktiviti tanpa kekangan daripada mana-mana pihak. Namun, sekiranya anda bercuti di kawasan pantai tertutup (milikan sesebuah resort/hotel), anda perlu mendapatkan kebenaran daripada pihak pengurusan tempat tersebut sebelum datang dan memulakan aktiviti kerana mungkin terdapat beberapa prosedur yang perlu dipatuhi.

Elakkan daripada menggunakan khidmat konsultan atau pengurus acara kerana setiap khidmat mereka tentu sekali akan dikenakan caj. Seelok-eloknya, tubuhkan pasukan anda sendiri yang akan mengendalikan hal-hal berkaitan penginapan, makanan, aktiviti, hadiah, dan sebagainya.

Makan bagi satu kumpulan besar tentu sekali memerlukan kos yang banyak. Jika boleh, elakkan daripada menggunakan khidmat katerer. Mungkin anda boleh mengadakan acara gotong-royong memasak atau pertandingan masakan dalam kumpulan. Selain menjimatkan kos, acara tersebut tentu sekali dapat mengeratkan hubungan silaturrahim sesama anda. Idea lain, mungkin anda boleh berbincang untuk mengadakan potluck bagi jamuan makan anda.

Tetapi, sekiranya program hari keluarga anda berlangsung di resort/hotel, kebiasaannya makanan daripada luar adalah tidak dibenarkan. Ini adalah prosedur yang perlu dipatuhi kerana ia adalah salah satu langkah keselamatan yang diambil oleh pihak pengurusan resort/hotel tersebut bagi mengelakkan masalah keracunan makanan, kebersihan kawasan dan sebagainya.

Namun, ada sesetengah resort/hotel memberi kelonggaran kepada pelanggan untuk acara barbeku. Anda boleh membawa bahan mentah sendiri dan mengendalikan sendiri acara barbeku anda. Secara tidak langsung kos makan anda sedikit sebanyak dapat dikurangkan.

Oleh itu, rancanglah program percutian keluarga anda sebaik mungkin sebelum memilih lokasi percutian. Pemilihan tempat bagi mengadakan program hari keluarga adalah sangat penting. Ia bukan sahaja melibatkan kos penginapan, kos-kos lain seperti makan, aktiviti dan sewaan tempat berkumpul juga perlu diambil kira.

Bagi perancangan aktiviti yang sesuai dengan tema ‘family day’ bajet anda, nantikan dalam entri saya yang seterusnya.J



Friday 27 February 2015

Lagu “Hati” - Adel

Entri 8

Teks: Nor Izzati Binti Samsudin

Pertama kali menghayati lagu bertajuk “Hati” nyanyian Adel AF2014, ada sesuatu mencuit hati saya. Terdetik rasa syahdu dalam setiap bait lagu yang diperdengarkan. Saya tidak pasti maksud sebenar yang cuba disampaikan oleh penulis lirik lagu ini. Apa yang pasti, lagu ini mengingatkan saya pada pencipta yang Maha Agung. Allahu Rabbi.

Setulus hati aku persembahkan
Semua kata luah perasaan
Walaupun jauh namun
Cintaku masih tersimpan

Sekalung tasbih ku jadikan teman
Bukan pengganti hanya tanda jalan
Membawa aku jauh
Ke lembah percintaan
Kau hidupku kau matiku kau nyawaku

Ohhh kasih kau tiada samanya
Mulanya saat ku terjaga sampai waktunya ku pejamkan mata
Ohhh kasih kaulah segalanya
Biarpun apa saja kaulah cinta

Sekalung tasbih ku jadikan teman
Bukan pengganti hanya tanda jalan
Membawa aku jauh ke lembah percintaan
Kau hidupku kau matiku kau nyawaku

Ohhh kasih kau tiada samanya
Mulanya saat ku terjaga sampai waktunya ku pejamkan mata
Ohhh kasih kaulah segalanya
Biarpun apa saja kaulah cintaku
Biarpun apa saja kaulah cinta

Fikiran dan fahaman sesama kita mungkin berbeza.

Namun, pada saya lagu ini membawa maksud cinta nan agung seorang hamba kepada pencipta-NYA. Tanpa pernah melihat rupaNya, tanpa mengenal fizikalNya, secara fitrah kita mencintaiNya. Penuh khusyuk bertasbih bertahmid memuji kekuasaanNya demi membuka jalan mencari keredhaanNya.

Hanyalah Dia satu-satunya. Dialah yang menghidupkan. Dialah yang mematikan.

Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidupku, matiku adalah untuk Allah Tuhan sekalian alam. Tidak ada sekutu bagiNya.



Thursday 26 February 2015

Infaq & Sedekah

Entri 7

Teks: Nor Izzati Binti Samsudin

Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi Muhammad s.a.w. bersabda:
 "Apabila seorang manusia mati, putuslah (tulisan pahala) amalan (setakat itu) Kecuali tiga perkara (yang akan berlanjutan tulisan pahalanya) iaitu sedekah jariah atau ilmu memberi kepada yang faedah orang lain atau anak yang soleh yang berdoa untuknya."
(Hadith Sahih - Riwayat Imam Ahmad)

Petang semalam saya berpeluang mendengar tazkirah ringkas berkaitan infaq dan sedekah yang disampaikan oleh Ustaz Abdul Ghaffar, pegawai daripada Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) ketika kunjungan beliau ke Dorani Bayu Resort.

Penyampaian yang cukup bersahaja dalam tempoh masa lebih kurang setengah jam namun jelas meninggalkan kesan di jiwa dan fikiran saya. Membawakan sebuah tajuk  tazkirah yang acap kali saya dengar dan acap kali juga ianya terabai tanpa dilaksanakan. Namun, pendekatan yang dilakukan oleh YaPEIM sedikit sebanyak membuka ruang untuk saya memperbaiki kejahilan diri.

Menekankan amalan sedekah jariah sebagai bekalan sesudah mati, YaPEIM memberi inisiatif menggalakkan pemberian sedekah secara konsisten melalui konsep potongan gaji bulanan mengikut keikhlasan hati masing-masing.  

Tertarik dengan kata-kata Ustaz Abdul Ghaffar bahawa kita perlu kreatif dalam bersedekah. Sedekah tidak hanya tertumpu kepada wang ringgit semata-mata. Teguran dan perkongsian ilmu itu juga suatu sedekah yang mampu menghapuskan dosa-dosa kecil kita selagi mana kita menjalankan perintah-Nya dan menjauhi perkara yang merosakkan akidah seperti syirik dan sebagainya.

Timbul keinsafan di hati kecil saya bila mana beliau mengatakan kita insan yang lemah seringkali menilai pemberian sedekah itu dengan melihat siapa pemintanya, bukan menilai pahala yang diperoleh daripadanya. Ya, saya akui kebenaran kata-katanya itu. Dengan hebahan berita dan sebagainya berkenaan sendikit penipuan sedekah, kadangkala hati menjadi ragu-ragu untuk memberi. Seringkali, rayuan si peminta dibiar berlalu tanpa layanan.

Sekadar renungan, banyak manakah kebaikan telah kita taburkan sepangjang kehidupan ini? Tanyalah pada diri, jawablah sejujurnya hati. Semoga kita masih diberi peluang untuk berbakti buat bekalan di kemudian hari. Janganlah hanya mementingkan keuntungan berbentuk material semata-mata. Tanamlah azam di sanubari untuk berbuat kebaikan yang akan mendatangkan manfaat dan memberi ganjaran berpanjangan untuk kehidupan yang abadi.

Dari Amru bin Auf r.a katanya Rasulullah SAW bersabda:
“Sesungguhnya sedekah seseorang Islam itu memanjangkan umur dan mencegah daripada mati dalam keadaan teruk  dan Allah SWT pula menghapuskan dengan sedekah itu sikap sombong, takbur dan membanggakan diri (dari pemberiannya).”
(Hadis Riwayat Bukhari)


Tuesday 24 February 2015

Barang Wajib Bawa Waktu Bercuti

Entri 6

Teks: Nor Izzati Binti Samsudin

Percutian yang sepatutnya menjanjikan kegembiraan boleh bertukar menjadi hambar bila mana kita terpaksa berdepan situasi yang tidak dijangka seperti tertinggal dokumen penting dan sebagainya.  Keterujaan untuk bercuti kadangkala membuatkan kita lupa barang-barang penting yang wajib dibawa ketika bercuti. Jadi, kali ini saya kongsikan serba sedikit barang yang perlu dibawa bagi melancarkan perjalanan percutian domestik anda.

Dokumen Penting
Pastikan anda membawa dokumen asal dan salinan setiap dokumen penting seperti kad pengenalan, lesen, tiket, insurans dan sebagainya. Salinan dokumen ini penting bagi membantu mengurangkan tekanan sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini seperti kecurian atau keciciran.

Barangan Peribadi
Pastikan anda tidak sesekali tertinggal barangan peribadi anda seperti dompet, duit, kad ATM, kad kredit, dan lain-lain. Biasakan diri untuk mengasingkan barangan tersebut  di tempat yang berlainan. Ini penting bagi mengelakkan anda kehilangan semua barang berharga jika berlaku kehilangan atau keciciran dompet. Selain itu, pastikan barangan keperluan lain seperti cermin mata, jam, kunci, dan telefon bimbit diletakkan di tempat yang sama untuk memudahkan anda mencarinya.

Pakaian
Padankan pakaian yang ingin digunakan dengan bilangan hari bercuti. Tidak perlu membawa pakaian yang banyak sekiranya anda merancang untuk membeli-belah di sana. Bawa pakaian yang mudah diuruskan dan disuai padan dengan semua tempat.

Barang Penjagaan Diri
Bawalah keperluan penjagaan diri anda seminima yang mungkin bagi menjimatkan ruangan beg anda. Bagi yang menginap di hotel atau resort sabun mandi dan syampu biasanya telah tersedia. Jadi, anda hanya perlu membawa alatan asas yang lain seperti berus gigi, ubat gigi, pencuci muka, deodoran, sunblock, losyen, dan alatan mekap anda.

Ubat-ubatan
Biasakan diri anda untuk membawa bekalan ubat-ubatan walaupun anda sihat walafiat sebelum bercuti. Faktor keletihan dan persekitaran mungkin akan membuatkan anda mengalami sakit kepala, sakit perut, mabuk dan sebagainya yang memerlukan anda mengambil ubat-ubatan tersebut.

Alat Elektronik
Anda semestinya memerlukan kamera digital  ketika bercuti bagi merakamkan detik-detik indah percutian anda. Bagaimanapun, pada masa kini, kewujudan telefon pintar boleh mengurangkan gadjet yang perlu anda bawa ketika bercuti. Anda boleh menggunakan aplikasi kamera, gps dan sebagainya cukup dengan hanya membawa telefon pintar anda. Namun, pastikan anda tidak tertinggal alat pengecas atau bank kuasa kerana anda tentu sekali akan memerlukannya.