Tuesday 7 April 2015

Imaginary Pregnancy Symptoms (IPS)

Entri 14

Teks: Nor Izzati Binti Samsudin

Imaginary Pregnancy Symptoms (IPS) bukanlah satu istilah perubatan, tetapi satu istilah untuk menggambarkan keadaan perasaan seperti seolah-olah hamil. Perasaan ini datang apabila seorang wanita sangat mengharapkan kehamilan sebaik sahaja mereka tidak didatangi darah haid pada waktu yang sepatutnya. Apatah lagi jika mereka mengalami simptom-simptom hamil seperti letih, kembung perut, loya, mengidam dan sebagainya.

Perasaan ini bukanlah disebabkan kecelaruan psikologi tetapi perasaan sebenar akibat reaksi hormon dalam tubuh yang telah bersedia untuk hamil. Apabila berlakunya ovulasi, tubuh seorang wanita sebenarnya telah sedia untuk hamil dengan mengeluarkan sedikit hormon walaupun persenyawaan antara telur ovum dan sperma belum berlaku.

Antara hormon yang dikeluarkan dan menyebabkan IPS adalah hormon progesterone. Kepekatan hormon progesterone akan meningkat secara perlahan-lahan selepas berlakunya ovulasi dan kemudian turun secara perlahan-lahan jika seseorang wanita itu tidak hamil.

Imaginary Pregnancy Symptom? Saya baru sahaja mengalaminya.

Dengan kitaran haid yang tetap 28 hari setiap bulan, kelewatan didatangi darah haid selama hampir 2 minggu sedikit sebanyak membuatkan saya dan suami teruja. Ditambah pula dengan beberapa simptom hamil yang saya alami, benar-benar membuatkan saya mengharapkan ada nyawa yang saya kandung di dalam kantung rahim saya.

Hari pertama didatangi haid selepas lewat 2 minggu saya jadi bingung. Perasaan jadi bercampur baur. Kecewa, sedih semua ada. Tak terkecuali rasa mengharap darah yang keluar adalah disebabkan pendarahan implantasi yang mungkin berlaku pada awal fasa kehamilan. Namun, tak guna saya menipu diri sendiri sedangkan saya tahu darah yang keluar memang darah haid, dan simptom keletihan, demam, air liur pahit dan sebagainya yang saya alami hanyalah disebabkan IPS.

Bagi yang benar-benar mengharapkan hamil setelah bertahun mencuba, IPS tentu sekali boleh menyebabkan kesedihan dan kemurungan. Oleh itu, banyakkanlah berdoa dan berusaha moga dimakbulkan Allah. Ingatlah, sesungguhnya, Allah lebih tahu bila waktu terbaik untuk DIA menurunkan rahmat kepada hamba-hambaNYA.




No comments:

Post a Comment