Tuesday 14 April 2015

Misi Pencarian Taska

Entri 15

Teks: Nor Izzati Binti Samsudin
Foto: Simpanan Peribadi

Mengikut perancangan asal, saya bercadang untuk menghantar Zuyyin ke taska bermula tahun depan setelah umurnya memasuki  usia 2 tahun. Sebelum ini, saya lebih selesa dia berada di bawah jagaan ahli keluarga saya dan mertua. Kebiasaannya, setiap hari Rabu saya akan menghantar Zuyyin ke rumah keluarga saya memandangkan setiap minggu mak mertua saya terlibat dengan program Amanah Ikhtiar pada hari tersebut. Malas berulang ke rumah mertua, kadangkala saya akan terus santak berada di rumah keluarga saya hingga hari Ahad.  

Namun, apabila adik-adik saya yang biasa menjadi baby sitter mula bekerja, Zuyyin lebih banyak dijaga oleh mak mertua saya. Dan, hari Rabu akan menjadi hari yang paling kelam kabut dalam jadual harian saya. Huhuhu

Menjaga kanak-kanak yang baru mula membesar bukan mudah. Tambahan pula, selain Zuyyin mak mertua saya turut menjaga seorang lagi cucunya berumur 2 setengah tahun. Anak lelaki kepada adik ipar saya. Mak mertua saya tidak pernah mengeluh penat di hadapan saya dan suami. Tidak pernah merungut susah dan sebagainya. Namun, di sebalik kerelaannya menjagakan anak saya, saya sedar sedikit sebanyak saya telah menyusahkannya.

Kesian dengan kelelahan mak mertua saya menjaga Zuyyin, saya terus berbincang dengan suami untuk mempercepatkan proses penghantaran Zuyyin ke taska bermula bulan hadapan. Pertukaran perancangan daripada tahun hadapan ke bulan hadapan bukan mudah sebenarnya. Persediaan mental saya sebagai seorang ibu tidak cukup kuat untuk melepaskan anak ke bawah jagaan orang yang saya tidak kenali. Ada rasa takut, tidak percaya dan pelbagai perasaan negatif yang datang. Ditambah pula dengan berbagai-bagai cerita tentang keburukan taska cukup membuatkan saya hilang keyakinan. 

Namun, apa pilihan yang saya ada?

Setelah bertanya kepada rakan-rakan tentang taska yang terbaik di Sungai Besar, masing-masing mencadangkan satu nama. TASKA FARIDAH.


Sejujurnya, saya tidak cukup mahir mencari taska terbaik untuk Zuyyin. Jadi, saya terpaksa menggunakan pendekatan percaya pada cerita rakan-rakan yang lebih berpengalaman. Salah seorang kenalan saya telah menghantar 4 daripada 5 orang anaknya ke taska ini. Begitu juga rakan-rakan suami yang mana turut pernah menggunakan khidmat asuhan dan didikan untuk anak masing-masing di taska ini. Dan, semua rakan saya dan suami nampaknya memberi gambaran yang baik dan berpuas hati dengan perkhidmatan yang diberikan taska ini.

Petang semalam saya dan suami berkesempatan berkunjung ke taska tersebut. Secara zahir, persekitarannya kelihatan bersih dan anak-anak jagaan juga terkawal. Sedikit maklumat daripada pengasas taska tersebut:-
  • Bayaran bulanan RM 250.00
  • Telah berdaftar dengan JKM
  • Waktu operasi bermula jam 7.30 pagi hingga 6.00 petang
  • Anak-anak jagaan akan diasingkan mengikut peringkat umur dan setiap kategori umur dijaga oleh seorang guru
  • Pelbagai aktiviti disediakan mengikut kesesuaian umur
  • Waktu tidur antara pukul 12.00 tengahari hingga 3.00 petang
  • Bantuan RM100.00 akan diberikan kepada keluarga yang berkelayakan
Persepsi awal, saya dan suami berpuas hati dengan taska tersebut. Layanan mesra yang diberikan pemilik taska iaitu Pn. Faridah serta guru-guru yang lain sedikit sebanyak memberikan keyakinan kepada saya untuk menghantar Zuyyin ke sana. Kebetulan, ketika kami singgah petang semalam seorang anak jagaan taska tersebut demam dan dia telah diasingkan daripada rakan-rakan yang lain serta diletakkan di bawah pemerhatian Pn. Faridah sendiri.

Melihat keadaan tersebut, saya berharap pemerhatian saya semalam bukanlah lakonan mereka semata-mata. Semoga apa yang dihidangkan untuk pandangan saya dan suami semalam benar-benar telus dan semoga segalanya dipermudahkan buat Zuyyin.


No comments:

Post a Comment