Monday 16 March 2015

Tip Menabung Untuk Melancong

Entri 12

Teks: Nor Izzati Binti Samsudin

Melancong adalah impian hampir setiap orang dan setiap impian tentu sekali menuntut pengorbanan dan kesungguhan demi merealisasikannya. Bagi mereka yang TIDAK berstatus kaya harta, tip-tip di bawah mungkin berguna kepada anda.

Menabung di Akaun Berasingan
Buka satu akaun selain daripada akaun yang sering digunakan untuk perbelanjaan harian. Khususkan akaun tersebut sebagai akaun pelancongan anda dan pastikan anda tidak berlembut hati mengeluarkan duit di dalamnya bagi tujuan lain.

Simpan sedikit duit gaji bulanan anda ke dalam akaun tersebut mengikut kemampuan. Sekiranya anda menyimpan RM100.00 sebulan, setahun anda dapat kumpul RM1,200.00. Cukup untuk menampung bayaran penginapan, makan dan duit minyak sepanjang percutian domestik anda. Namun, lebih banyak anda simpan, maka lebih banyak tabungan anda dan semakin cepatlah anda dapat bercuti dan melancong.

Main Kutu
Istilah main kutu telah wujud sejak sekian lama. Ada yang mengaitkannya dengan istilah hutang dan sebagainya. Namun, secara positif ianya satu sistem penyimpanan duit yang memerlukan komitmen yang tinggi semua ahli yang terlibat. Anda terikat dengan kepercayaan rakan-rakan ahli yang lain.

Sekiranya anda bermain RM50.00 sebulan dengan kiraan peserta 20 orang, maknanya anda terikat selama 20 bulan untuk mendapatkan RM 1,000.00. Namun begitu, anda boleh memohon kepada ahli yang lain untuk mengeluarkan habuan anda pada masa anda ingin memerlukannya.

Pelaburan ASB
Melabur dengan ASB adalah salah satu langkah bijak untuk menyimpan. Dividen dan bonus yang diberikan setiap awal tahun sudah tentu boleh digunapakai untuk keperluan perbelanjaan percutian anda. Semakin banyak anda melabur, semakin tinggi dividen yang anda akan dapat setiap tahun. Secara tidak langsung, anda boleh merancang percutian anda setiap tahun mengikut anggaran dapatan dividen dan bonus ASB tersebut.


Menabung tidak semestinya dalam bentuk wang. Tempahan tiket, penginapan dan lain-lain yang dibuat lebih awal juga boleh dikira sebagai menabung. Rancang percutian anda sebaik mungkin. Lebih awal tempahan dibuat lebih banyak anda dapat berjimat. Agihkan tabungan anda kepada bulan-bulan tertentu bagi melengkapkan perancangan anda. Sebagai contoh, mungkin anda boleh menggunakan sebahagian dividen dan bonus ASB yang diberikan setiap awal tahun untuk membeli tiket penerbangan atau sebagainya yang dijadualkan pada akhir tahun. Sudah tentu harga tiket tersebut jauh lebih murah berbanding anda membelinya di saat-saat akhir.


No comments:

Post a Comment