Friday 6 March 2015

Perancangan Aktiviti Bajet

Entri 11

Teks: Nor Izzati Binti Samsudin

Tanpa menggunakan khidmat nasihat konsultan atau bantuan pengurus acara, anda sebenarnya mampu mengendalikan sendiri program hari keluarga atau reunion anda dengan pelbagai aktiviti menarik. Apa yang penting, setiap aktiviti yang dirancang mampu memberi kegembiraan seterusnya menjadi kenangan indah dalam hidup anda.

Dari segi pengendalian makanan, anda mungkin boleh merancang aktiviti yang dapat disertai oleh semua yang terlibat. Berikut antara aktiviti masakan yang sedikit sebanyak boleh membantu mengurangkan kos perbelanjaan makan anda.

§  Gotong-royong memasak
§  Pertandingan memasak
§  Potluck

Bagi aktiviti santai, rancanglah aktiviti yang dapat mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan atau persahabatan anda. Bagi yang mempunyai bajet besar, anda mungkin dapat menjalankan aktiviti seperti paintball, snorkeling, mengelilingi pulau, dan sebagainya. Namun, bagi yang mempunyai bajet kecil memadailah dengan melakukan aktiviti-aktiviti berikut.

1.      Memancing
Anda boleh membawa sendiri peralatan dan umpan memancing daripada rumah. Anda juga boleh berbual sesama ahli keluarga atau sahabat anda sementara menunggu umpan anda mengena. Hasil tangkapan tentu saja dapat dijadikan menu tambahan anda. Selain itu, aktiviti ini juga boleh dijadikan sebagai satu pertandingan bagi memeriahkan hari keluarga anda.

2.      Sukaneka
Pilih aktiviti sukaneka yang tidak menggunakan terlampau banyak peralatan bagi memudahkan persiapan. Rancang permainan yang boleh melibatkan semua orang. Lebih seronok sekiranya sukaneka yang dijalankan memerlukan penglibatan semua kategori umur seperti kategori kanak-kanak, remaja, dan dewasa.

3.      Barbeku
Aktiviti ini boleh dijalankan secara santai bagi menggantikan acara makan malam. Bahan mentah dan sebagainya boleh dibawa sendiri daripada rumah bagi menjimatkan kos. Lebih menarik jika setiap satu keluarga yang datang membawa satu atau dua menu barbeku. Sambil membakar dan makan anda tentu saja dapat berkongsi resepi perapan masing-masing.

4.      Tukar-tukar Hadiah
Aktiviti barbeku anda boleh saja diselang-selikan dengan pelbagai pengisian menarik. Salah satu daripadanya adalah aktiviti tukar-tukar hadiah. Anda boleh membuat konsep satu keluarga satu hadiah atau terbuka kepada sesiapa yang berminat. Namun, aktiviti ini perlu diwar-warkan sebelum hari keluarga tersebut berlangsung. Nilai hadiah perlu ditetapkan bagi tujuan keseragaman.

5.      Bonfire
Turut dikenali dengan nama malam unggun api. Aktiviti yang memerlukan setiap orang duduk mengelilingi unggun api dan menonjolkan bakat masing-masing. Anda boleh menyanyi, bercerita, menari, dan sebagainya di dalam bulatan tersebut. Untuk kelainan, mungkin anda boleh mengenal antara satu sama lain melalui permainan ‘Truth or Dare’ pada waktu tersebut.

6.      Tahlil & Doa Selamat
Alang-alang berkumpul, buatlah majlis ringkas bacaan doa selamat bagi memohon kesejahteraan di dunia dan di akhirat. Di samping bergembira, ambillah kesempatan untuk memperingati ahli keluarga atau sahabat yang telah ‘pergi’ dengan mengadakan bacaan tahlil. Semoga sedekah bacaan ayat-ayat suci Al-Quran yang terkandung di dalamnya sampai kepada mereka.

Semoga perkongsian pengisian aktiviti hari keluarga dan reunion ini berguna dan memberi manfaat kepada anda semua. J


No comments:

Post a Comment