Saturday 25 April 2015

Negara Bom

Entri 18

Teks: Nor Izzati Binti Samsudin
Foto:  Carian Google

Kategori: Sukaneka Berkumpulan

Objektif Permainan:-
  • Menguji kepekaan peserta
  • Meningkatkan kemahiran mendengar di kalangan peserta
  • Memupuk semangat bekerjasama sesama ahli kumpulan
  • Menggalakkan persaingan sihat antara kumpulan yang terlibat

Peralatan yang digunakan: Tiada

Cara Permainan:-
  1. Bentukkan kumpulan (minima 4 kumpulan) yang terdiri daripada sekurang-kurangnya 5 orang peserta.
  2. Setiap kumpulan perlu memilih satu nama negara sebagai nama kumpulannya. Contoh: Iran, Afrika, China, India & Jepun.
  3. Setiap wakil kumpulan perlu mengundi untuk menentukan kumpulan yang akan memulakan permainan.
  4. Kumpulan pertama akan menyebut nama negaranya diikuti perkataan ‘bom’ terlebih dahulu sebanyak tiga kali dan kemudian mengebom negara yang menjadi sasarannya. Contoh: Iran bom - Iran bom - Iran bom - Afrika bom
  5. Kumpulan kedua dan berikutnya perlu menyahut serta mensasarkan negara pilihan masing-masing dengan cara yang sama
  6. Sekiranya kumpulan negara yang menjadi sasaran tersebut lambat menyahut, negara mereka akan terbakar dan disingkirkan daripada permainan. Selain itu, sesuatu negara juga akan dikira kalah sekiranya mereka tidak sepakat dalam mengebom negara lain.
  7. Kumpulan yang mampu bertahan tanpa melakukan kesilapan dikira pemenang. 



Saturday 18 April 2015

Memang Sekepala – Faiq vs Zuyyin

Entri 17

Teks: Nor Izzati Binti Samsudin
Foto:  Simpanan Peribadi

Haritu punya cerita. Kisah 2 orang sepupu yang memang kamcheng dan sekepala membuli neneknya. Mula-mula elok je main berdua kat luar. Pastu senyap-senyap masuk bilik siap kunci pintu. Bila neneknya panggil suruh keluar yang si abang dah panik sampai nak pusing tombol pintu tu pun dah tak reti. Kunci pandai bukak pulak tak pandai. Makanya, melalak berirama la dua-dua dalam bilik tu.

Bila dah bersahut-sahutan menangis, neneknya daripada bertenang jadi tak tenang dah. Dok suruh la jugak pusing tombol tu tapi budak 2 tahun apalah tau nya. Nangis je la dalam tu dok tendang-tendang pintu suruh bukak. Lastnya, nasib baik la teringat ada kunci pendua. 


Inilah dia muka 2 orang pesalah tu. Berpeluh-peluh keluar bilik. Nasib baik tak lama terkurung. Kalau tak boleh pengsan kepanasan gamaknya. Tak pasal-pasal kena denda dengan nenek duduk diam-diam tepi almari. Huhuhu.


Insaf la dah ni konon-kononnya. Siap angkat tangan tanda menyerah lagi. 
Patuh sangat tu duduk makan biskut tepi almari.


Okay tengok. Dah mula buat sepah dah. 
Tapi steady lagi duduk tepi almari.


Dan....


Akhirnya, inilah hasilnya. Inilah kerja budak berdua tu kat rumah. 
Saling bekerjasama membuli neneknya. 
Ada saja idea-idea segar yang diorang keluarkan setiap hari. 
Faiq dan Zuyyin ni lama-lama boleh bikin nenek sakit jantung ni. Hahaha. 


Friday 17 April 2015

Terbaik Bagimu – Siti Nurhaliza

Entri 16

Teks: Nor Izzati Binti Samsudin
Foto: Laman Muka Buku

Tetiba macam termelting lak dengan lagu ni. Teringat-ingat kat Incik Suami.
Tetibe macam nak soal hati sendiri kuat mana rasa cinta saya buat Incik Suami sebenarnya?
Tetibe macam ragu adakah saya cukup baik buat dia?

Huhuhu...

Berapa banyak tetibe daa~

Apepun jom layan jiwang jap dan hayati sendiri liriknya. Buat Incik Suami, harap-harap saya adalah yang Terbaik Bagimu.

Rasaku kamu ada
Di setiap sedih juga senangku
Rasanya kamu sudah
Menjadi bintang terang hidupku

Masih kurang rasaku
Mencintai hatimu
Ingin aku jadi terbaik bagimu

Masih kurangkah aku
Menyayangi hatimu
Mahu aku mengganti setiap sukarmu
Dengan tenang

Rasaku, kamu ada
Di saat senyum juga tangisku
Rasanya, kamu sudah
Jadi yang terbaik bagi aku

Masih kurang rasaku
Mencintai hatimu
Ingin aku jadi terbaik bagimu

Masih kurangkah aku
Menyayangi hatimu
Mahu aku mengganti setiap sukarmu ooh.. oh..

Masih kurang rasaku
Mencintai hatimu
Ingin aku jadi terbaik bagimu

Masih kurangkah aku
Menyayangi hatimu
Mahu aku mengganti setiap sukarmu
Dengan tenang

Masih kurang rasaku
Mencintai hatimu
Ingin aku jadi terbaik bagimu
Dengan tenang



Tuesday 14 April 2015

Misi Pencarian Taska

Entri 15

Teks: Nor Izzati Binti Samsudin
Foto: Simpanan Peribadi

Mengikut perancangan asal, saya bercadang untuk menghantar Zuyyin ke taska bermula tahun depan setelah umurnya memasuki  usia 2 tahun. Sebelum ini, saya lebih selesa dia berada di bawah jagaan ahli keluarga saya dan mertua. Kebiasaannya, setiap hari Rabu saya akan menghantar Zuyyin ke rumah keluarga saya memandangkan setiap minggu mak mertua saya terlibat dengan program Amanah Ikhtiar pada hari tersebut. Malas berulang ke rumah mertua, kadangkala saya akan terus santak berada di rumah keluarga saya hingga hari Ahad.  

Namun, apabila adik-adik saya yang biasa menjadi baby sitter mula bekerja, Zuyyin lebih banyak dijaga oleh mak mertua saya. Dan, hari Rabu akan menjadi hari yang paling kelam kabut dalam jadual harian saya. Huhuhu

Menjaga kanak-kanak yang baru mula membesar bukan mudah. Tambahan pula, selain Zuyyin mak mertua saya turut menjaga seorang lagi cucunya berumur 2 setengah tahun. Anak lelaki kepada adik ipar saya. Mak mertua saya tidak pernah mengeluh penat di hadapan saya dan suami. Tidak pernah merungut susah dan sebagainya. Namun, di sebalik kerelaannya menjagakan anak saya, saya sedar sedikit sebanyak saya telah menyusahkannya.

Kesian dengan kelelahan mak mertua saya menjaga Zuyyin, saya terus berbincang dengan suami untuk mempercepatkan proses penghantaran Zuyyin ke taska bermula bulan hadapan. Pertukaran perancangan daripada tahun hadapan ke bulan hadapan bukan mudah sebenarnya. Persediaan mental saya sebagai seorang ibu tidak cukup kuat untuk melepaskan anak ke bawah jagaan orang yang saya tidak kenali. Ada rasa takut, tidak percaya dan pelbagai perasaan negatif yang datang. Ditambah pula dengan berbagai-bagai cerita tentang keburukan taska cukup membuatkan saya hilang keyakinan. 

Namun, apa pilihan yang saya ada?

Setelah bertanya kepada rakan-rakan tentang taska yang terbaik di Sungai Besar, masing-masing mencadangkan satu nama. TASKA FARIDAH.


Sejujurnya, saya tidak cukup mahir mencari taska terbaik untuk Zuyyin. Jadi, saya terpaksa menggunakan pendekatan percaya pada cerita rakan-rakan yang lebih berpengalaman. Salah seorang kenalan saya telah menghantar 4 daripada 5 orang anaknya ke taska ini. Begitu juga rakan-rakan suami yang mana turut pernah menggunakan khidmat asuhan dan didikan untuk anak masing-masing di taska ini. Dan, semua rakan saya dan suami nampaknya memberi gambaran yang baik dan berpuas hati dengan perkhidmatan yang diberikan taska ini.

Petang semalam saya dan suami berkesempatan berkunjung ke taska tersebut. Secara zahir, persekitarannya kelihatan bersih dan anak-anak jagaan juga terkawal. Sedikit maklumat daripada pengasas taska tersebut:-
  • Bayaran bulanan RM 250.00
  • Telah berdaftar dengan JKM
  • Waktu operasi bermula jam 7.30 pagi hingga 6.00 petang
  • Anak-anak jagaan akan diasingkan mengikut peringkat umur dan setiap kategori umur dijaga oleh seorang guru
  • Pelbagai aktiviti disediakan mengikut kesesuaian umur
  • Waktu tidur antara pukul 12.00 tengahari hingga 3.00 petang
  • Bantuan RM100.00 akan diberikan kepada keluarga yang berkelayakan
Persepsi awal, saya dan suami berpuas hati dengan taska tersebut. Layanan mesra yang diberikan pemilik taska iaitu Pn. Faridah serta guru-guru yang lain sedikit sebanyak memberikan keyakinan kepada saya untuk menghantar Zuyyin ke sana. Kebetulan, ketika kami singgah petang semalam seorang anak jagaan taska tersebut demam dan dia telah diasingkan daripada rakan-rakan yang lain serta diletakkan di bawah pemerhatian Pn. Faridah sendiri.

Melihat keadaan tersebut, saya berharap pemerhatian saya semalam bukanlah lakonan mereka semata-mata. Semoga apa yang dihidangkan untuk pandangan saya dan suami semalam benar-benar telus dan semoga segalanya dipermudahkan buat Zuyyin.


Tuesday 7 April 2015

Imaginary Pregnancy Symptoms (IPS)

Entri 14

Teks: Nor Izzati Binti Samsudin

Imaginary Pregnancy Symptoms (IPS) bukanlah satu istilah perubatan, tetapi satu istilah untuk menggambarkan keadaan perasaan seperti seolah-olah hamil. Perasaan ini datang apabila seorang wanita sangat mengharapkan kehamilan sebaik sahaja mereka tidak didatangi darah haid pada waktu yang sepatutnya. Apatah lagi jika mereka mengalami simptom-simptom hamil seperti letih, kembung perut, loya, mengidam dan sebagainya.

Perasaan ini bukanlah disebabkan kecelaruan psikologi tetapi perasaan sebenar akibat reaksi hormon dalam tubuh yang telah bersedia untuk hamil. Apabila berlakunya ovulasi, tubuh seorang wanita sebenarnya telah sedia untuk hamil dengan mengeluarkan sedikit hormon walaupun persenyawaan antara telur ovum dan sperma belum berlaku.

Antara hormon yang dikeluarkan dan menyebabkan IPS adalah hormon progesterone. Kepekatan hormon progesterone akan meningkat secara perlahan-lahan selepas berlakunya ovulasi dan kemudian turun secara perlahan-lahan jika seseorang wanita itu tidak hamil.

Imaginary Pregnancy Symptom? Saya baru sahaja mengalaminya.

Dengan kitaran haid yang tetap 28 hari setiap bulan, kelewatan didatangi darah haid selama hampir 2 minggu sedikit sebanyak membuatkan saya dan suami teruja. Ditambah pula dengan beberapa simptom hamil yang saya alami, benar-benar membuatkan saya mengharapkan ada nyawa yang saya kandung di dalam kantung rahim saya.

Hari pertama didatangi haid selepas lewat 2 minggu saya jadi bingung. Perasaan jadi bercampur baur. Kecewa, sedih semua ada. Tak terkecuali rasa mengharap darah yang keluar adalah disebabkan pendarahan implantasi yang mungkin berlaku pada awal fasa kehamilan. Namun, tak guna saya menipu diri sendiri sedangkan saya tahu darah yang keluar memang darah haid, dan simptom keletihan, demam, air liur pahit dan sebagainya yang saya alami hanyalah disebabkan IPS.

Bagi yang benar-benar mengharapkan hamil setelah bertahun mencuba, IPS tentu sekali boleh menyebabkan kesedihan dan kemurungan. Oleh itu, banyakkanlah berdoa dan berusaha moga dimakbulkan Allah. Ingatlah, sesungguhnya, Allah lebih tahu bila waktu terbaik untuk DIA menurunkan rahmat kepada hamba-hambaNYA.